SELANGOR FC memulakan saingan Liga Super musim 2023 dengan aksi kurang menyakinkan setelah hanya mampu menang tipis, 1-0 mengatasi skuad yang ‘dinaikkan pangkat’ Kelantan United FC.
Jaringan tunggal menerusi tandukan pemain import, Yazan Al Arab pada minit ke-40 membezakan keputusan perlawanan yang menyaksikan tuan rumah terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan.
Pada aksi tersebut, pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe mengandingkan pemain kebangsaan, Faisal Halim bersama dua pemain import baharu, Yohandry Orozco dan Ayron Rodriguez di bahagian serangan.
Bermula daripada minit pertama, Selangor tampak bergelut untuk mencari jaringan pembukaan dan sukar menembusi benteng pertahanan Kelantan United yang beraksi dengan cukup berdisiplin.
Stadium MBPJ akhirnya bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Yazan menanduk masuk sepakan penjuru Faisal Halim untuk gol pertama Selangor.
Memasuki babak kedua, menyaksikan Kelantan United mula memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya.
Penjaga gol Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar beraksi cemerlang apabila menafikan tandukan jarak dekat Ayron Rodriguez pada minit ke 82.
Pada minit ke 86, Kelantan United memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol penyamaan namun penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan berjaya menghalang rembatan Muhammad Aqil Hilman.
Selepas ini, Selangor akan bertemu Kuching City di Stadium Negeri Sarawak pada 2 Mac manakala Kelantan United akan terbang ke Kota Kinabalu bertemu Sabah pada 1 Mac ini.
Add Comment