Bola Sepak

Julang trofi pertama : Syihan azam terus bantu JDT


Syihan akui satu permulaan baik bersama JDT pada musim 2023.

Bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi tidak menunggu lama untuk menjulang trofi pertamanya apabila membantu kelab itu menewaskan Terengganu FC 2-0 pada aksi pertama Liga Super 2023 sekaligus membawa pulang Piala Sumbangsih 2023 pada malam Jumaat.

Penjaga gol berusia 27 itu bertindak cemerlang menjaga gawang JDT apabila turut diasak oleh Sang Penyu di Stadium Sultan Ibrahim.

“Alhamdulilah, ini satu permulaan yang baik dan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana mengaturkan persiapan yang begitu baik untuk hadapi musim ini.

“Bukan setakat saya tetapi semua pemain telah mencurahkan segala-galanya bagi memenangi perlawanan ini, kejayaan menjulang trofi ini merupakan kejayaan bersama.

“Saya mahu membawa pasukan ini lebih jauh lagi dalam apa jua kejohanan yang kami sertai dan harap saya mampu berikan yang terbaik jika berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Syihan yang dibawa masuk dari Negeri Sembilan ke JDT musim ini tidak menunggu lama untuk merebut posisi penjaga gol utama namun masih belum boleh selesa kerana masih terus dicabar dua penjaga gol berbakat iaitu Farizal Marlias dan Haziq Nadzli.

JDT bakal meneruskan kempen Liga Super berdepan Kuala Lumpur pada Rabu, 1 Mac 2023 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: