JOHOR Darul Ta’zim (JDT) merekodkan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali ke lapan dan menyamai pencapaian Selangor selepas menewaskan Terengganu FC, 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Kejayaan yang dihasilkan menerusi jaringan Juan Muniz dan Bergson da Silva di setiap babak sudah cukup buat Harimau Selatan merangkul gelaran buat kali keenam berturut.
Turun di Stadium Sultan Ibrahim yang dibanjiri kehadiran para penyokong setia mereka, JDT tampil kemas dengan kehadiran rekrut baharu seperti Ahmad Syihan Hazmi, Juan Muniz Gallego dan Oscar Arribas Passero manakala Jordi Amat bertindak selaku ketua pasukan.
Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk mendahului lawan pada minit ke lima hasil tandukan sempurna Juan Muniz.
Gol berpunca dari hantaran lintang menarik Bergson sebelum Muniz melompak tinggi untuk mengatasi tiga pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin.
Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-15 tetapi percubaannya dalam kawasan penalti selepas melepasi kawalan dua pertahanan lawan diselamatkan Suhaimi.Husin.
Gandingan Bergson, Fernando Foresteri, Arif Aiman nyata memberikan tekanan buat pertahanan pelawat menerusi gerakan menarik namun tiada pertambahan jaringan gol pada 45 minit pertama.
Bergson yang dilihat agak kurang memberikan impak pada babak pertama akhirnya membuktikan penyudah berkualiti tinggi selepas bijak menyambar hantaran dari Arif Aiman pada minit ke-57 untuk gol kedua JDT.
Walaupun Terengganu cuba memberikan asakan memburu gol menerusi Sony Norde namun kedudukan 2-0 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.
Kemenangan 2-0 ke atas Terengganu dalam kejohanan Piala Sumbangsih yang memasuki edisi ke-38 malam ini juga memberikan tiga mata penuh buat JDT dalam saingan Liga Super dan momenten untuk terus mengekalkan empat kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Add Comment