Bola Sepak Terkini

‘Terima kasih TMJ’


Syamer kini menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan mengharungi musim 2023.

PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba merakam ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pengurusan kelab kerana sangat prihatin dalam membantunya untuk pulih daripada kecederaan.

Ini ekoran situasi semasa dirinya yang kini mula menjalani latihan bersama pasukan selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut.

Syamer mengalami kecederaan lutut pada Julai tahun lalu dan JDT menghantarnya ke Barcelona untuk menjalani pembedahan bagi memastikan dia pulih dengan keadaan baik.

“Alhamdulillah selepas 212 hari berhempas pulas dan bekerja keras, kini saya kembali melakukan perkara yang paling saya sukai (bermain bola sepak).

“Saya cuma ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail) dan JDT kerana memberikan penjagaan terbaik untuk memulihkan kecederaan saya sejak hari pertama.

“Terima kasih kepada semua kakitangan kejurulatihan, keluarga dan rakan yang bersama saya. Kini tiba masanya untuk meningkatkan prestasi dan menjadi pemain yang lebih baik,” kata Syamer di Instagram miliknya.

Hantaran Syamer di media sosial itu turut mendapat reaksi daripada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

TMJ meninggalkan komen di Isntagram Syamer dengan berkata: “Ingat apa yang saya beritahu awak. Projek baharu.”

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: