BUKAN Kedah Darul Aman FC tetapi Terengganu FC, itulah destinasi terbaharu bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi yang berkelana di Liga Thailand bersama kelab Khon Kaen United musim lalu.
Setelah hampir dua tahun tidak beraksi di Malaysia, akhirnya beliau kembali ke semula dengan status pemain tempatan yang pernah beraksi di Liga Australia, India dan Thailand.
Berita gembira ini dinyatakan Terengganu FC yang mengalu-alukan kehadiran bekas pemain Harimau Malaya ini dan juga KDA FC.
Liridon mencipta nama dalam saingan Liga M bersama Kedah apabila menyertai pasukan itu dari 2015 hingga 2019 dengan dia pernah menjulang kejuaraan Liga Perdana pada 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.
Umum diketahui Liridon merupakan pemain naturalisasi negara dan beliau sah untuk didaftarkan selaku pemain tempatan dengan mana-mana pasukan di Malaysia.
Ianya merupakan suatu khabar positif sebenarnya buat Terengganu, selepas mereka kehilangan tonggak kreatif di posisi tengah musim lalu iaitu Manuel Ott yang menyertai Kedah.
Kualiti dimiliki Liridon jelas tidak boleh dipertikaikan lagi kerana semua pun tahu beliau mempunyai skil individu yang tinggi, serta kreativiti mencipta serangan buat pasukan.
Nama beliau mula meletup ketika mewakili Kedah pada tahun 2015 dan Liridon menjadi antara tunjang utama kebangkitan pasukan tersebut untuk muncul juara Liga Premier.
Selepas beberapa musim menabur bakti di Kedah, Liridon memulakan karier baharu dengan menyertai Melaka United sebelum mengesahkan diri untuk menjadi pemain JDT.
Namun segalanya tampak tidak begitu baik, setelah aksinya mula tidak konsisten dan Liridon terpaksa dipinjamkan kepada beberapa kelab luar negara untuk mengembalikan potensi beliau.
Bersama skuad kebangsaan, segalanya juga tidak tampak begitu baik selepas beliau menjadi pemain naturalisasi sehingga dirinya tidak terpilih oleh Kim Pan-gon untuk beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia dan kejohanan AFF 2022.
Add Comment