
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, terima mengadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin dan Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon di Ibu Pejabat JDT, hari ini.
Pertemuan ini nyata mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan yang beranggapan itu mungkin untuk membincangkan tentang penggunaan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya bulan depan.
Semalam, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman memaklumkan gelanggang keramat JDT itu antara lokasi pilihan sebagai venue perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya.
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) bermula pada bulan Mac ini.
SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.
Sumbangan TMJ kepada pasukan Harimau Malaya jelas cukup besar apabila baru-baru ini telah memperuntukkan peralatan kecergasan untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Piala Asia pada awal 2024.
Malah, TMJ juga sempat turun ke padang latihan di Wisma FAM pada 6 januari lepas untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Thailand.
Add Comment