
Selepas mengadakan aksi jelajah pra-musim 2023 di Dubai, Johor Darul Ta’zim (JDT) memperolehi pengalaman dan belajar menjadi lebih baik apabila menentang lawan yang mempunyai standard lebih tinggi.
Ketua Jurulatihnya, Esteban Solari berkata, ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami ‘humble’ dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya liga sebenar bagi musim 2023.
“Dengan menentang lawan yang mempunyai standard yang lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Russia yang bermain di Liga Juara-Juara UEFA akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik. Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat.
“Saya telah berbincang dengan ‘Boss’ (DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sepanjang lima aksi di Dubai, JDT berjaya mencatatkan tiga menang dan dua tewas.
Harimau Selatan tewas pada aksi pertama menentang FC Rostov 2-0, sebelum menang ke atas FC Levski Sofia 1-0 dan meneruskan momentum tersebut ke atas Fursan Hispania FC dengan kemenangan 3-0.
JDT kemudiannya mengejutkan FC Lokomotiv Moscow 1-0 sebelum tewas kepada FC Zenit St. Petersburg 3-0.
Add Comment