Bola Sepak

FAM mahu mutu pengadilan Liga Malaysia pada tahap terbaik


Hamidin hadir meraikan barisan pengadil pada majlis makan malam. FOTO FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu memastikan mutu kepengadilan Liga Malaysia terutama di Liga Super dan Liga Premier berada di tahap yang terbaik.

Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, persatuan itu telah menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil demi menjaga serta mengekalkan kualiti barisan pengadil yang bertugas.
“Bukan mudah untuk seorang pengadil membawa tanggungjawab melaksanakan perlawanan yang sentiasa menjadi tumpuan penyokong bola sepak negara, namun begitu, Alhamdulilah secara keseluruhannya, prestasi pengadil bagi musim 2022 berada di tahap yang memuaskan.

“Sudah tentu kami mahu melihat kualiti pengadil di Malaysia menjadi lebih baik di masa hadapan dan FAM telah pun merancang untuk meneruskan lagi serta menambahbaik aktiviti-aktiviti pembangunan pengadil diteruskan lagi tahun ini.

“Semoga menerusi majlis makan malam penghargaan pengadil ini serta jersi baharu pengadil yang akan digunakan bermula Februari ini dapat menyuntik semangat serta motivasi buat barisan pengadil dalam menjalankan amanah yang telah diberikan,” kata beliau.

Beliau berkata selepas menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil dan pelancaran jersi baharu pengadil

Hadir sama dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Selain itu, turut hadir bersama adalah barisan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, Presiden Malaysian Football League, Dato’ Ab. Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri serta Pengurus Besar Kronos Malaysia, Vincent Lai Wai On.

Pelancaran jersi baharu pengadil Liga Malaysia. FOTO FAM

Selain pelancaran jersi baharu pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan Mohd Yusri Muhamad telah dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi Musim 2022 manakala Nurul Hafizah Nuraddin serta Siti Noorhidayat Ghazali pula dinobatkan sebagai Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik bagi Musim 2022.

Beliau juga turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kronos Malaysia di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada FAM dalam memastikan barisan pengadil Malaysia dapat beraksi dengan baik.

Sementara itu, Vincent Lai berkongsi rasa teruja untuk melihat jersi pengadil yang baharu digunakan oleh barisan pengadil pada aksi pertama Liga Super dan Liga Premier, Februari hadapan.

“Besar harapan kami di Kronos Malaysia agar jersi baharu pengadil ini dapat menyemarakkan lagi semangat pengadil-pengadil untuk bertugas sekali gus memeriahkan lagi arena bola sepak negara yang akan bermula tidak lama lagi,” kata Vincent.

Jersi baharu pengadil bagi musim 2023 akan dijual pada harga RM99 sehelai dan boleh didapati mulai Khamis, 19 Januari 2023 menerusi laman sesawang Kronos Malaysia di www.kronossea.com atau dibeli secara fizikal di semua cawangan Kronos.  


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: