
Sebanyak 45 graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Tahun 2022 sah menjadi milik lima pasukan Liga Super pada musim 2023.
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersama AMD mengucapkan tahniah kepada batch keempat ini yang merupakan generasi tahun 2005.
Menurutnya, 14 pemain menyertai Selangor FC, Kedah Darul Aman FC (13),
Skuad Projek FAM-MSN (10), Johor Darul Takzim FC (5) dan Terengganu FC (2).
“Semua pemain telah memulakan latihan bersama kelab-kelab bola sepak profesional di Malaysia sejak awal Januari yang lalu.
“Pihak AMD dan NFDP sangat bangga dengan setiap pencapaian yang ditunjukan dan akan sentiasa memantau perkembangan setiap graduan AMD bagi memastikan mereka terus bersaing dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa,” katanya yang dipetik melalui Facebook rasminya pada Isnin.
Sebagai rekod, keseluruhan graduan AMD setakat 8 Januari 2022 adalah seramai 163 orang yang mewakili 34 orang bagi batch pertama, 40 orang bagi batch kedua, 44 orang bagi batch ketiga dan 45 orang bagi batch keempat.
“Kesemua graduan AMD telah bersama kelab bola sepak profesional tempatan dan antarabangsa selepas bergraduasi dari AMD.
“Terdapat juga graduan AMD yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dari universiti awam di Malaysia,” ujarnya.
Katanya lagi, semoga kesemua graduan AMD akan terus berjaya dan diberikan peluang yang seluasnya bagi membantu menaikan nama negara dalam arena bola sepak.
Add Comment