
Penang FC melanjutkan kontrak pertahanan kentalnya dari Brazil, Rafael Vitor,30 untuk musim 2023 yang menyaksikan pemain itu sudah berada di dalam Liga Malaysia selama empat tahun.
Presiden Agensi Perpindahan pemain Brazil, Valdir Sousa berkata, Harimau Kumbang turut mengikat dua lagi pemain dari negara tersebut iaitu bekas pemain Melaka United, Adriano Narcizo, 28 dan Giovani Gomes, 27.
Menurutnya, kedua-dua pemain itu beraksi di posisi penyerang.
“Penang FC telah melanjutkan kontrak Rafael satu tahun lagi dan menyaksikan dia telah berada di sini selama empat tahun. Satu tahun lagi pemain ini boleh dijadikan sebagai pemain naturalisasi (jika terus kekal di Liga Malaysia),” katanya eksklusif kepada Cakap Sukan.

Jelasnya, Adriano sebelum ini telah beraksi bersama Melaka United selama satu tahun setengah sebelum mengambil keputusan menyertai Penang FC.
“Giovani pula beraksi setengah musim bersama Melaka United pada 2021 sebelum dipinjamkan kepada Caxias FC dan kini menyertai Penang FC bagi musim 2023,” katanya lagi.
Add Comment