Bola Sepak

Thailand ranking lebih baik tapi Malaysia ada kelebihan


Skuad kebangsaan mengikuti latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat. FOTO FAM

Pengendali Malaysia, Kim Pan Gon mahu anak buahnya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada pertemuan pertama Separuh Akhir Piala AFF 2022 bertemu Thailand pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan negara jiran tersebut diakui mempunyai kualiti sebagai penyandang juara termasuk berada di ranking ke-111 dunia.

“Kita semua tahu Thailand berada di ranking yang lebih baik. kami perlu menghormati apa yang telah mereka lakukan beberapa tahun kebelakangan ini terutama status mereka sebagai penyandang juara.

“Saya tidak mahu terlalu menilai pasukan lawan tetapi kita ada kelebihan dari segi penyokong. Sokongan penyokong seperti ditunjukkan pada perlawanan terakhir (menentang Singapura) sangat bagus. Kami akan gunakan kelebihan tersebut,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Ujarnya, beliau akan berusaha mengekalkan DNA dan karakter pemain untuk memberikan saingan sengit bagi mendapatkan keputusan dan bekalan selesa di laman sendiri.

“Semua informasi dan analisis akan diberikan kepada pemain. Saya rasa semua pemain bijak, mereka boleh menyesuaikan diri dan pantas memahami taktikal yang mahu diterapkan.

“Saya sangat yakin dengan kemampuan pasukan walaupun Thailand pasukan yang berbeza daripada apa yang telah kita hadapi sebelum ini,” kata Pan Gon lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: