
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) meliputi kerjasama dalam dua perkara iaitu, pembangunan pengadil dan penbangunan bola sepak belia.
MoU selama tiga tahun ini bertujuan mempergiat kerjasama bola sepak dan mengeratkan hubungan dua hala di antara dua negara.
Pemeteraian MoU ini disempurnakan
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Setiausaha Agung VFF, Duong Nghiep Khoi, di Hanoi, Vietnam.
Turut hadir dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram serta Exco FAM, ACP (Bersara) Md Dali Wahid.
Hadir sama, dua Naib Presiden VFF, Tran Anh Tu dan Nguyen Xuan Vu serta Exco kecemasan VFF, Nguyen Qouc Hoi.
Sivasundaram dalam ucapannya berkata, dalam perjanjian tersebut kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama membina hubungan yang erat antara persatuan masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pembangunan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja mampu mengukuhkan lagi struktur bola sepak kedua negara tetapi apa yang paling utama dapat memberi manfaat kepada pembangunan pengadil negara kita.
“Kami di FAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada VFF yang memberi sokongan dalam pembangunan pengadil dan belia Malaysia,” kata beliau.
FAM-VFF akan melakukan program pertukaran pengadil dalam perlawanan antarabangsa dan tempatan masing-masing malah turut sama-sama berkongsi pengalaman dalam bidang profesional melalui mesyuarat langsung atau tidak langsung dan kursus latihan.
Kedua-dua negara juga akan menghantar pasukan kebangsaan belia masing-masing untuk menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan dianjurkan.
Add Comment