
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan terus mendapatkan pemain terbaik negara untuk memperkuatkan Harimau Selatan dalam mengekalkan dominasi mereka di Liga Malaysia.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengulangi pendirian pemain hanya dilepaskan menyertai pasukan kebangsaan pada kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sahaja.
Menurutnya, ramai yang gagal menerima kejayaan dan tidak belajar dengan apa dilakukan oleh JDT sejak 10 tahun lalu.
“Well done boys. Ramai yang menyalak setiap tahun. 10 tahun masih tak belajar dan tak terima kejayaan kami.”
“Tetapi hanya segelintir sahaja yang bermain bunga api setiap tahun. Betapa untungnya keluarga JDT. Setiap tahun ada perkembangan, setiap tahun Allah kurniakan kejayaan,” katanya yang dipetik melalui InstaStory pada semalam.
TMJ menjelaskan, pemainnya juga muncul antara tonggak membantu Malaysia layak ke Kejohanan Asia selepas 43 tahun namun dikritik kerana tidak menyertai Piala AFF 2022.
“Piala AFF ada yang tak berakal bising, agaknya dia lupa Malaysia layak Piala Asia pemain JDT yang berhempas pulas.
“Oleh yang demikian, sama macam kenyataan saya sebelum ini, saya akan terus membunuh bola sepak Malaysia.
“Hari ini saya berjanji akan terus beli pemain-pemain hebat dalam negara, dan hanya lepaskan mereka untuk sertai pasukan kebangsaan dalam kalendar FIFA sahaja,” ujarnya lagi.
Pada kempen Piala AFF 2022 yang sedang berlangsung, hanya seorang pemain JDT iaitu Safawi Rasid menyertai ramai pemain muka baharu skuad Kim Pan Gon dan mencatat dua kemenangan dalam dua aksi Kumpulan B, sekali gus berpeluang untuk mara ke separuh akhir.
Add Comment