
Hasrat Kim Pan Gon yang mahu Malaysia menang besar ke atas Laos tercapai apabila menang 5-0 pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 di Bukit Jalil pada malam Sabtu.
Kemenangan bersih tanpa bolos itu terus memberikan motivasi kepada Harimau Malaya untuk mara lebih jauh dalam Kejohanan AFF edisi kali Ini.
Sergio Aguero membuka jaringan skuad negara pada minit ke-28 hasil hantaran Hakim Hassan untuk berada 1-0 di hadapan selepas beberapa kali memperolehi peluang.
Laos berusaha mengimbangi corak serangan pasukan tuan rumah dan berjaya mempertahankan keputusan itu sehingga tamat separuh masa pertama.
Kenduri gol Malaysia bermula menerusi Faisal Halim yang menanduk gol kedua pada minit ke-65 untuk kedudukan 2-0 selepas memanfaatkan hantaran Safawi Rashid.
Faisal terus menjaringkan gol pada minit ke-68 untuk kedudukan 3-0 selepas menerima hantaran dari Hakim sebelum dia menanduk masuk bola tersebut.
Penyerang muda berusia 19 tahun, Haqimi Azim yang baru dimasukkan tidak menunggu lama menjaringkan gol pertamanya bersama skuad Kebangsaan apabila menjaringkan gol voli pada minit ke-78 untuk meletakkan Malaysia terus selesa 4-0 di hadapan.
Stuart Wilkin melengkapkan kemenangan besar Harimau Malaya apabila menjaringkan gol dari luar kotak penalti pada minit ke-86 untuk keputusan penuh 5-0.
Kemenangan ini adalah kemenangan kedua dicatatkan oleh Malaysia selepas menang 0-1 ke atas Myanmar dan akan bertandang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada 27 Disember Ini.
Add Comment