Lain-Lain

Wafiy mampu raih dua emas walaupun rehat setahun


Wafiy (tengah) pada saingan acara 400m lelaki di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Pembedahan tumit dan tempoh rehat selama setahun tidak menghalang atlet Universiti Malaya, Abdul Wafiy Roslan cemerlang meraih dua pingat emas pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final) pada Ahad.

Atlet tersebut meraih tempat pertama acara 400 meter (m) lelaki dan dalam acara 200m pada Sabtu.

Dalam acara 400m, dia mencatat masa 48.42 saat (s) sekaligus memadam rekod kejohanan 48.67s milik Muhammad Ilham Suhaimi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kalau diikutkan saya tak meletakkan sasaran untuk meraih emas dalam acara ini kerana persiapan hanya dibuat beberapa minggu sebelum kejohanan,” katanya yang sebelum ini berehat panjang selepas melakukan pembedahan tumit.

“Kejohanan ini juga sengit kerana pada akhirnya kemenangan terpaksa ditentukan menerusi ‘photo finish’. Jadi saya bersyukur kerana berjaya meraih emas dalam acara ini dan semalam 200m,” katanya seperti dipetik melalui portal Berita Harian.

Menurutnya, dia mengharapkan kejayaan ini akan dapat meningkatkan semangat untuk memburu slot secara automatik ke Sukan SEA Kemboja tahun depan.

“Sebelum ini saya berehat panjang dan tak turun menjalani latihan selama setahun selepas melakukan pembedahan tumit. Selepas itu, saya kembali menjalani latihan untuk persediaan SUKMA. Namun selepas temasya, saya pula mengalami kecederaan hamstring,” ujarnya.

Pingat perak acara 400m menjadi milik atlet UPM, Luqmanul Hakim Khairul Akmal dengan catatan 48.45s manakala gangsa diraih rakan seperjuangannya, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi, 48.56s.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading