
KUALA LUMPUR : Atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Nani Sahirah Maryata mencipta rekod baharu kebangsaan acara lontar peluru selepas memadamkan rekod lama berusia 33 tahun pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Bukit Jalil, pada Ahad.
Kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan menyaksikan Nani Sahirah menerima insentif sebanyak RM3,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
Atlet berusia 21 tahun itu melakukan lontaran sejauh 14.48 meter (m) bagi meraih pingat emas untuk memadam rekod lama kebangsaan yang dipegang Lee Chiew Har.
“Saya sebenarnya tidak percaya, masih seperti mimpi. Saya tak pernah buat 14m sebelum ini.
“Saya bersyukur serta berterima kasih kepada jurulatih, ibubapa dan rakan yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya semasa ditemui di Stadium Mini Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.
Dalam acara tersebut, pingat perak menjadi milik Nurul Ainin Syauqina M.Nor Azahar dengan lontaran 12.21m manakala gangsa milik Queenie Ting Kung Nie dengan lontaran 12.20m.
Add Comment