
Pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad menyifatkan pencalonannya dalam senarai tiga terbaik kategori Pemain Muda Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) penghormatan kepada pemain di posisi pertahanan.
Beliau diundi bersama Arif Aiman Mohd Hanapi dari Johor Darul Ta’zim dan Mukhairi Ajmal Mahadi dari Selangor FC.
Menurutnya, sejak sekian lama anugerah tersebut telah didominasi oleh pemain penyerang dan pemain tengah.
“Terima kasih kepada jurulatih (Nafuzi Zain) dan pasukan Terengganu yang sentiasa mempercayai saya, musim 2022 antara detik paling manis dalam karier.
“Berada dalam kelompok tiga terbaik sudah menjadi satu kepuasan tersendiri kerana bukan mudah sebenarnya bersaing dengan ramai lagi pemain hebat di luar sana.
“Bersaing dengan Arif dan Mukhairi, bagi saya sememangnya pasti sengit untuk menang memandangkan mereka berdua antara pemain yang hebat,” katanya yang dipetik melalui Facebook Malaysia Football League (MFL).
Pada musim lalu, kategori tersebut menjadi milik Arif Aiman selain turut menggondol Pemain Paling Bernilai (MVP).
Add Comment