Bola Sepak

Menanti Gergasi Merah versi Cheng Hoe musim 2023


Pemain Selangor FC di pentas final Piala Malaysia 2022. FOTO SELANGOR FC

Biarpun gagal melengkapkan misi untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34 namun corak permainan Selangor FC wajar dipuji kerana berubah 360 darjah selepas dibimbing oleh Tan Cheng Hoe.

Tewas tipis 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala Malaysia 2022 bagaikan menepati ramalan banyak pihak bahawa Harimau Selatan akan membawa pulang piala tersebut namun mereka tidak menyangka skuad Hector Bidoglio itu ditentang hebat sehingga ke wisel penamat.

Selepas melihat aksi The Red Giant yang semakin garang di bawah Cheng Hoe, ramai menjangkakan Selangor FC bakal muncul antara pasukan yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pasukan pada saingan Liga Malaysia musim 2023.

Cheng Hoe dilantik pada 24 September lalu mula menghadirkan impak positif kepada pasukan tersebut musim ini dengan pemain sedia ada walaupun sasaran yang diletakkan bermula musim hadapan


Cheng Hoe membimbing Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021, pernah membawa skuad negara muncul naib juara Piala AFF pada 2018 selain memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sewaktu membimbing Kedah memenangi Piala Malaysia pada 2016.

Selangor FC melalui Facebook rasminya mengharapkan satu kebangkitan pada tahun 2023.

“Bukan keputusan yang kita kehendaki tapi persembahan yang wajar dipuji. Ini hanya lah permulaan wahai #GergasiMerah. Bangkit dengan lebih kuat tahun hadapan! Terima kasih atas sokongan anda,” tulisnya.

Cheng Hoe pasti sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Selangor FC yang akan diperbaikinya pada musim 2023. FOTO SELANGOR FC

Lebih menarik apabila Selangor FC difahamkan turut membawa pemain tempatan berkualiti untuk memperkukuhkan skuad tersebut di Jentera serangan dan juga pertahanan mereka.

Biarpun belum ada pengumuman rasmi dari Selangor FC tentang kehadiran Faisal Halim dari Terengganu FC, Ahmad Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan) dan V Ruventhiran (Petaling Jaya FC) ke dalam skuad itu musim depan, namun kualiti skuad Cheng Hoe pastinya akan semakin meningkat jika jadi realiti.

Selain tiga pemain tersebut, ramai tidak menjangkakan rombakan besar-besaran Gergasi Merah musim 2023 selepas melihat kualiti yang semakin baik dipamerkan semua pemain namun tiada siapa yang menjangkakan apa lagi kejutan yang akan diumumkan oleh pengurusan Selangor FC

Apa yang pasti ramai tertunggu-tunggu apa perancangan Cheng Hoe musim 2023 dengan pemilihan pemainnya sendiri, menarik untuk disaksikan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: