IPOH, 24 Nov – Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang bakal berlangsung di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak bermula 25 hingga 27 November ini dianggap ‘pertempuran’ terakhir buat peserta mengutip mata untuk ditabalkan selaku juara keseluruhan.
Tumpuan sudah pasti terarah kepada beberapa jagoan triatlon dunia diketuai Ayan Beisenbayev dari Kazakhstan dan Aleksandr Kurishov (Uzbekistan) yang dilihat sebagai calon utama untuk merangkul kejuaraan pada edisi kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Stagemaker Sdn Bhd, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran atlet triatlon dari benua Eropah dan Afrika juga bakal menghangatkan lagi persaingan dalam kalangan para peserta yang yang mengambil bahagian pada siri terakhir ATC itu.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, Kazakhstan dan Uzbekistan mempunyai wakil peserta yang berada dalam ranking terbaik di peringkat Asia. Jadi tentunya mereka dianggap pencabar terkuat pada saingan ATC di Perak nanti.
“Apa pun kita juga jangan lupa peserta dari Jepun. Walaupun Jepun tidak menghantar atlet yang berada dalam kelompok 10 terbaik, tetapi mereka masih ada atlet yang saya percaya mampu memberikan cabaran sengit kepada peserta pilihan.
“Atlet-atlet triatlon Jepun memiliki semangat yang luar biasa. Kita tidak boleh pandang rendah dengan kemampuan atlet dari Jepun kerana mereka juga akan berhabis-habisan memburu mata bagi memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.
Untuk rekod, ATC yang dianggap kejohanan triatlon paling berprestij di rantau Asia kembali diadakan di negara ini selepas kali terakhir berlangsung di Sabah sekitar tahun 1980-an.
Sebagai tuan rumah peringkat terakhir ATC 2022, Perak dipilih sebagai lokasi penganjuran yang dianjurkan bersama antara Persatuan Triatlon Malaysia dan Persatuan Triatlon Perak dengan kerjasama Stagemaker Sdn Bhd.
Sebanyak enam kategori utama dipertandingkan pada ATC kali ini iaitu membabitkan lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas; peringkat umur 19 hingga 23 tahun dan peringkat umur 16 hingga 19 tahun.
Setiap peserta akan mengharungi tiga disiplin atau cabaran sukan berbeza bermula renang sejauh 750 meter (m) diikuti berbasikal dengan jarak meliputi 20 kilometer (km) sebelum saingan berakhir dengan larian sejauh 5km.
Dalam pada itu, Emir memberitahu, sebanyak hampir 90 peserta dari 25 buah negara termasuk Malaysia yang akan mengambil bahagian bagi kategori lelaki dan wanita elit.
“Selain wakil dari Asia iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong serta beberapa peserta dari negara jiran Asia Tenggara, penganjuran ATC di Perak ini berjaya menarik penyertaan wakil Eropah.
“Antaranya termasuklah Jerman, Kanada, Sepanyol, Romania, Switzerland, Slovakia dan Luxembourg. Malah, pihak penganjur juga dapat menarik penyertaan para peserta dari Palestin, Guam, Afrika Selatan dan India.
“Ini pastinya memberi nilai tambah kepada ATC di Perak. Paling penting, para peserta yang mengambil bahagian sudah sedia dengan misi mereka untuk mengutip seberapa banyak mata pada peringkat terakhir ATC bagi tahun ini,” jelasnya.
Add Comment