Bola Sepak

Pengendali Kedah diumumkan selepas Piala Malaysia 2022


Khamal Idris Ali. FOTO HOUSE OF SANG KENARI

Pengendali baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC diberikan kuasa penuh untuk membentuk pasukan tersebut bagi musim 2023 dalam usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, rombakan besar dilakukan selepas Sang Kenari mencapai keputusan yang cukup sederhana pada musim ini sehingga memberikan kegusaran kepada penyokong setianya.

Menurutnya, persiapan rapi dilakukan sebaik mungkin dan pemain-pemain yang disasarkan oleh ketua jurulatih baharu Kedah telahpun dipancing dan nama mereka tidak boleh didedahkan berikutan turut menjadi buruan pasukan Liga Super lain.

“Berada di tangga kelapan Liga Super musim 2022 termasuk terkandas awal di peringkat Piala Malaysia dan juga gagal menyerlah di Piala FA memang menyedihkan kerana perbelanjaan yang dikeluarkan pada musim ini masih lagi besar.

“Apa yang terjadi pada musim 2022 akan menjadi panduan terbaik buat KDA FC untuk membina semula pasukan baharu dan perancangan ke arah itu telahpun siap dan kini akan diserahkan kepada pengendali baharu untuk membentuk semula pasukan bagi musim 2023.

“Ketua Jurulatih ini tidak boleh lagi diumumkan kerana beliau masih lagi mempunyai tugas bersama pasukannya sekarang. Kami tidak mahu menganggu fokusnya. Selepas tamat saingan Piala Malaysia 2022 barulah kami akan mengumumkan nama beliau,” katanya.

Sebelum ini KDA FC mengumumkan berpisah dengan Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak yang telah menjulang pelbagai kejayaan bersama skuad itu sejak 2019.

Ketua Jurulatih kelahiran Singapura itu membantu Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021 serta layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

Beliau membantu Kedah membawa Kedah selama tiga tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.

Mengulas mengenai masa depan semua pemain termasuk pemain import pada musim ini, Khamal Idris berkata, perkara itu juga akan diputuskan oleh pengendali baharu Sang Kenari.

Menurutnya, KDA FC mahu menyediakan sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran kepada semua pasukan di saingan Liga Malaysia musim depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: