Bola Sepak

KPG jawab sebab pilih lawan Kemboja dan Maldives


Kim Pan Gon. Foto FAM

Pemilihan Aksi Pemanas Badan Bertemu Kemboja dan Maldives Bersesuaian Dengan Persiapan Harimau Malaya Menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, kata pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Menurutnya, selepas berbincang dengan beberapa pasukan lain serta melakukan penilaian secara dalaman dari pelbagai aspek, akhirnya keputusan dibuat untuk menerima pelawaan daripada dua pasukan itu untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 ini.

Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah iaitu Kemboja di ranking 177 dan Maldives di ranking 154 namun pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.

“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A Piala Mitsubishi yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.

“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini,” kata KPG dalam satu kenyataan.

Bagi pertemuan dengan Maldives pula, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018 memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.

Menurutnya, Maldives juga memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan Malaysia hadapi pada kejohanan AFF nanti.

“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” ujarnya.

Harimau Malaya akan berdepan Kemboja pada Jumaat, 9 Disember ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Maldives pada Rabu, 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi aksi perlawanan pemanas badan menjelang saingan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 21 Disember 2022.

Pada aksi Piala Mitsubishi AFF pula, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar (ranking 158) pada Rabu, 21 Disember di tempat lawan, sebelum bertemu Laos (ranking 187) pada Sabtu, 24 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pasukan seterusnya akan berdepan Vietnam (ranking 96) pada Selasa, 27 Disember di tempat lawan dan aksi terakhir kumpulan menentang Singapura (ranking 160) pada Selasa, 3 Januari 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: