
Kedah Darul Aman (KDA) FC menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, kelab pada mana-mana tempoh menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.
Menurutnya, KDA FC telah menerima laporan sejak semalam berkenaan isu tuduhan bahawa KDA FC menghadapi tunggakan 5 bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.
“Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak COVID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dimana telah menjejaskan penajaan kelab.
“Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama 5 bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, kenyataan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan adalah satu kenyataan fitnah dan KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.
Menurutnya, KDA FC akan mengenalpasti pemilik akaun yang mengeluarkan kenyataan ini dan semua akaun media sosial dan portal yang memainkan isu ini seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan.
Add Comment