Bola Sepak

RM138,600 menanti peminat bola sepak penalti seluruh negara


Naib Canselor Manipal Internasional Universiti, Prof Dr Jason Robert Fitzsimmons turut mencuba sepakan penalti pada Pelancaran Liga Penalti Malaysia dan Pasukan Bolasepak Manipal International University ( MUFC).

Liga Penalti Malaysia (LPM) Manipal International University menggemparkan peminat sukan bolasepak penalti seluruh negara apabila menyediakan RM138,600 tunai untuk pemenang keseluruhan 14 lokasi negeri dan Grand Final. 

Pengarah Pertandingan LPM yang juga Presiden Pasukan Bolasepak Manipal United FC, Mahathir Mohamad berkata, di Grand Final, juara akan menerima ‘wang besar’ berjumlah RM50,000 sementara Kedua RM10,000 manakala ketiga dan keempat menerima RM5,000 dan RM2,000.

Menurutnya, di peringkat  negeri pula, RM3,000 disediakan untuk juara, kedua RM1,000 dan ketiga serta keempat RM500 dan RM400.

“LPM akan memulakan stage 1 di Melaka 6 November ini dan akan menjelajah setiap minggu ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan akan berakhir di stage 14 (Terengganu) pada 5 Februari 2023.

“Grand Final yang mengumpul 8 pasukan terbaik setiap negeri akan diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 12 Februari 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Manipal International University (MIU) sebagai penganjur telah memilih syarikat Bina Awan Sari Sdn Bhd sebagai konsultan yang mempunyai pasukan Pengurus Acara yang sinonim dengan penganjuran Liga Penalti sejak 2017 iaitu Liga Penalti Rakyat. 

Jason (tiga kanan) menunjukkan hadiah yang ditawarkan pada grand final Liga Penalti Malaysia. Turut Kelihatan Mahathir (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif CAKAP SUKAN, Izahar Atan (dua kiri).

Ujar Mahathir, format pertandingan ini amat mudah dan disukai pelbagai golongan usia dan bangsa kerana hanya menggunakan format penalti permainan bolasepak. 

Menurutnya, ia dimainkan secara liga iaitu sebanyak 4 pasukan satu kumpulan dan dua pasukan mata tertinggi layak seterusnya ke pusingan kalah mati.

“Walaupun permainan ini mudah tapi jika dilihat dari sudut bolasepak, ia akan dapat membentuk jati diri pemain untuk berlatih bersungguh sungguh bagi mencapai matlamat memenangi hadiah lumayan ditawarkan.

“Saya sudah mengikuti perkembangan pertandingan ini sejak 2017 lagi, penyertaan pasukan dari lepasan sekolah amatlah menggalakkan,” katanya.

Jelas Mahathir, MIU membuka peluang kepada remaja meneruskan bakat dalam bolasepak pada masa sama dapat memperolehi Diploma  atau Ijazah dan berjaya dalam pelajaran.

“Itulah sebab saya wujudkan pasukan bolasepak untuk MIU dalam program ‘Belajar Sambil Bermain Bolasepak’. Mereka akan dilatih jurulatih bertauliah dan dapat menyertai liga-liga anjuran FAM seperti Piala Presiden, M5 dan banyak lagi, katanya.

Tambah Mahathir, pihak MIU memberi komitmen yang amat tinggi bagi penyediaan pasukan bolasepak Manipal United FC dan bersedia untuk membina padang bolasepak dan insfratruktur yang baik di dalam kawasan MIU.

Dalam pada itu, Sukan atau Pertandingan Bolasepak Penalti kini telah rancak dimainkan di seluruh negara secara karnival, bagi membantu pemimpin setempat mendekati rakyat. 

Ini kerana permainan ini dapat mengumpul penyertaan pasukan yang banyak dan mudah dimainkan. Syarikat korporat dan badan-badan kerajaan juga menjadikan aktiviti sukan bolasepak penalti ini sebagai acara utama sukan dalaman.

Sementara itu, CAKAP SUKAN telah dipilih sebagai rakan media bagi menjayakan LPM MIU yang diadakan pada kali ini.

Jadual dan hadiah ditawarkan pada Liga Penalti Malaysia.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: