
Musim hujan yang sudah tiba tidak menganggu fokus dan rentak pemain Negeri Sembilan FC untuk melakukan kejutan di peringkat saingan Piala Malaysia 2022.
Selepas muncul empat pasukan terbaik Liga Super 2022 selepas kembali beraksi di liga utama musim ini, Sang Rusa mengakui mahu meneruskan momentum di pentas Piala Malaysia pula.
Pentas perlawanan tersebut bakal membuka tirai 26 Oktober ini dengan berkunjung ke laman Darul Aman (KDA) FC.
Ketua pasukannya, Mohd Zaquan Adha Abd Razak berkata, Piala Malaysia sentiasa menghadirkan suasana yang berbeza termasuk kejutan dari semua pasukan yang bertanding.
“Pada edisi kali ini, ada perlawanan timbal balik dan sudah tentu memberikan kelebihan kepada Negeri Sembilan apabila beraksi di laman sendiri.
“Walaupun beraksi dalam musim hujan namun pemain sudah terbiasa dan pemain juga suka beraksi dalam hujan. Pemain juga sudah terbiasa beraksi di atas padang basah di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi,” ujar beliau.
Pada aksi timbal balik Piala Malaysia pula, Sang Rusa akan menerima kunjungan KDA FC pada 1 November di Paroi.
Add Comment