
BAGI mencungkil dan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam arena bola sepak tanah air, penganjur Liga M5, Alique Sports Industry menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Uniti Waqi Sdn. Bhd
MoU yang dimerterai kedua pihak ini bertujuan meningkatkan kualiti pasukan bola sepak yang bertanding di peringat tertinggi dan pada masa sama memeriahkan lagi penganjuran liga bola sepak amatur di Malaysia.
Pengurus Operasi Alique Sports Industry, Shilachi Rizal berkata, kerjasama pihaknya dengan Uniti Waqi diharap dapat membuka peluang kepada penglibatan lebih banyak sektor korporat dalam penganjuran liga bola sepak.
“Uniti Waqi Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang berpengalaman dalam kutipan dana dan perkhidmatan perundingan dan perniagaan sekali gus dapat membantu memeriahkan lagi pertandingan liga amatur di Malaysia.
“Usaha ini akan membantu untuk mencungkil dan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam arena bola sepak tanah air dan meningkatkan kualiti pasukan bola sepak yang bertanding di peringat tertinggi,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena perlawanan akhir Liga M5 Alique Amisi Physio yang diadakan baru-baru ini disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Shilachi bagi pihak Alique Sports dan Pengarah Uniti Waqi Sdn. Bhd., Dr. Syed Omar Syed Agil.
Menurut Shilachi, Uniti Waqi Sdn. Bhd. juga telah dilantik oleh Yayasan Uniti untuk menjalankan projek-projek penajaan dan kebajikan serta wakaf di serantau ASEAN.
“Dana tajaan yang diberikan oleh penaja akan disalurkan melalui Yayasan Uniti yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang akan membolehkan pihak penaja mendapatkan pengurangan cukai,” katanya.
Add Comment