
Victor Andrag diberikan kepercayaan oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC menggalas tugas Ketua Jurulatih sementara bagi membawa pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia 2022.
KDA FC dalam satu kenyataan berkata, Penolong Ketua Jurulatih itu akan menyiapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan TM Piala Malaysia bermula 25 atau 26 Oktober ini menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman dan bertandang ke halaman lawan pada 31 Oktober atau 1 November.
Menurutnya, perkara itu susulan Aidil Sharin Sahak tidak lagi bersama pasukan tersebut selepas tamat saingan Liga Super 2022 untuk berada di tangga kelapan liga musim ini.
“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Aidil Sharin Sahak bersama pasukan Kedah sepanjang 4 tahun di bumi jelapang padi ini.
Beliau meninggalkan legasi dan rekod pasukan bolasepak Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Piala Malaysia 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021, layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.
Kejayaan itu termasuk membawa Kedah 3 tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.
“Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan Aidil Sharin Sahak, Ketua Jurulatih pasukan KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan beliau di masa hadapan dan percaya pengalaman kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di peringkat liga domestik dan Asean.
“Victor Andrag, Penolong Ketua Jurulatih akan terus berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Jurulatih (Interim) KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia,” kata kenyataan itu.
Add Comment