
Tahun 2022 disifatkan sebagai luar biasa bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas merangkul pelbagai kejayaan dari pasukan senior hingga ke pasukan junior, namun pemburuan kejuaraan belum tamat.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kelab ini akan terus berusaha untuk mencapai lebih kejayaan dan pihaknya memerlukan sokongan daripada semua di dalam Keluarga JDT.
Menurutnya, keluarga JDT melibatkan pengurusan, barisan kejurulatihan, para pemain, staf dan penyokong untuk menyempurnakan musim ini dengan lebih bergaya.
“Kita telah pun memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya termasuk JDT III memenangi Piala Presiden (B21) buat pertama kalinya. JDT II pula boleh dinobatkan sebagai juara Liga Premier Jumaat ini.
“Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula kini dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. ‘A triple hattrick!”. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” katanya.
Tunku Mahkota Johor itu berkata, JDT masih ada lima lagi perlawanan untuk merangkul kejuaraan, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kami memerlukan setiap sokongan daripada penyokong dan seluruh Keluarga JDT dalam baki perlawanan untuk mencapai matlamat kami iaitu ‘triple hattrick’.
“Jumpa anda semua di perlawanan ‘home’ akan datang Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah!,” ujar beliau lagi.
Add Comment