Bola Sepak

Bina stadium : Perak FC disarankan buat permohonan


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad FOTO PEJABAT SUK PERAK

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan kepada Perak FC membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung hasrat mereka mahu membina pusat latihan sendiri di Chepor.

Beliau berkata Kerajaan Perak belum menerima sebarang permohonan daripada kelab tersebut berhubung perkara tersebut setakat ini.

“Saya belum (dapat permohonan), bagaimanapun mereka (Perak FC) perlu menghantar kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Manjoi dan permohonan akan diproses seperti biasa,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal Harian Metro.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, permohonan itu akan melalui beberapa proses dan pihak bagi mendapatkan kelulusan.

“Dia tak boleh minta hari esok nak terus cepat, Pejabat Tanah akan bertanya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” ujar beliau.

Menurutnya, semua jabatan teknikal berkenaan kemudiannya turut akan ditanya lanjut berhubung projek berkenaan.

“Jika semua jabatan itu mereka kata tiada halangan maka PTG akan bawa kertas itu ke dalam mesyuarat Exco dengan syor PTG.

“Kalau PTG kata boleh diluluskan, maka Mesyuarat Exco akan luluslah,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan Perak FC mahu memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik kepada pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya sudah memohon kepada pihak berkuasa di Perak berhubung perancangan itu yang bakal melonjakkan lagi ‘saham’ pasukan serta melengkapkan ciri-ciri sebagai sebuah pasukan profesional.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: