
Malaysia yang muncul naib juara Piala Raja Thai ke-48 apabila tewas kepada Tajikistan 3-0 menerusi sepakan penalti pada malam Ahad tetap membanggakan Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman Facebooknya berkata, Keluarga Malaysia tetap bangga dengan semangat juang seluruh pemain Harimau Malaya.
“Saya yakin para pemain sudah memberikan yang terbaik, namun jadikan perlawanan ini sebagai pendorong untuk berusaha dengan lebih gigih bagi perlawanan yang akan datang.
“Kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia pula akan terus menjadi penyokong kuat Harimau Malaya,” katanya.
Pada aksi sebenar kedua-dua pasukan gagal meraih sebarang jaringan untuk menyaksikan mereka terikat 0-0 pada masa sebenar perlawanan.
Tajikistan berpeluang untuk keluar lebih awal sebagai pemenang pada perlawanan ini namun jaringan pemainnya pada penghujung perlawanan tidak diiktiraf kerana berada dalam kedudukan off-said.
Pada masa penentuan penalti, penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan penalti oleh kapten Tajikistan.
Namun rezeki tidak berpihak kepada skuad kebangsaan apabila sepakan penalti oleh Dion Cools, Safawi Rashid dan Nazmi Faiz juga tidak menemui jaringan dan menyaksikan Tajikistan muncul juara selepas menang 3-0 penentuan sepakan penalti.
Add Comment