
Bekas Ketua Jurulatih Sarawak United, B Sathianathan menafikan kelab tersebut telah menyelesaikan kesemua bayaran sepertimana yang dinyatakan di dalam hebahan media Malaysian Football League (MFL) bertarikh 21 September.
Hebahan tersebut menjelaskan SUFC telahpun menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos 2022 dan pegawai pasukan sehingga Julai 2022.
“Saya dengan ini menafikan bahawa SUFC telahpun berjaya menyelesaikan kesemua bayaran sepertimana yang dinyatakan di dalam hebahan media tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, tuntutan telah dilakukan terhadap SUFC berkenaan tunggakan pembayaran melibatkan kekurangan bayaran gaji bagi tahun 2021, tunggakan bayaran gaji bulan Februari 2022 sehingga Jun 2022 (5 bulan) dan kekurangan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya, umum mengetahui bahawa beliau telahpun menamatkan kontrak atas persetujuan bersama SUFC pada 12 Jun 2022 atas faktor kesihatan.
“Semasa mendapatkan rawatan kesihatan, saya mendapat tahu bahawa tiada sebarang polisi insuran yang dicarumkan di atas nama saya sehingga menyebabkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung pembayaran kos rawatan di hospital.
“Kos ratusan ribu terpaksa ditanggung saya sendirian. Pada masa yang sama, SUFC tidak memberikan sebarang maklum balas atas tuntutan saya
sehingga saya terpaksa melantik peguam untuk meneruskan tindakan perundangan terhadap SUFC sebagai langkah akhir untuk menegakkan hak saya sepertimana yang telah termaktub di dalam kontrak,” ujar beliau lagi.
Sathianathan berkata, MFL digesa untuk membuat satu siasatan lanjut terperinci kepada SUFC kerana gagal untuk memberikan fakta-fakta sebenar berkaitan dengan keberhutangan SUFC kepada MFL.
“Saya tidak pernah menandatangani mana-mana surat persetujuan untuk menerima pembayaran secara ansuran dan sehingga kini tuntutan saya masih belum dijelaskan secara penuh oleh SUFC,” katanya.
Add Comment