Bola Sepak

Polis tingkat kawalan jaga 87,000 penonton malam esok


ACP Zam Halim Jamaluddin

Polis meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan keadaan keselamatan serta ketenteraman kira-kira 87,000 penonton yang hadir ke final Piala FA 2022 pada Sabtu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, perlawanan di antara JDT dan Terengganu FC itu akan dikawal oleh lebih 1,000 anggota pihak berkuasa.

Menurutnya, mereka terdiri daripada pegawai Polis dan anggota termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan Polis (K9), Unit Berkuda, Unit Pemusnah Bom,Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Respon Team arau Tangkapan.

“Polis mula mengawal keselamatan di sekitar stadium pada hari perlawanan tersebut akan bermula pada jam 5.00 petang dengan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium.

“Kawalan bagi memastikan keadaan keselamatan serta ketenteraman penonton terjamin mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan pihak kerajaan bagi mengelakkan penularan penyakit- berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zam Halim berkata, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium. 

Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan meliputi pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan yang dibawa oleh penonton.

“Antara barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, mancis, pemetik api, sebarang objek tajam, senjata seperti parang dan lain-lain,minuman keras, payung, tongkat, powerbank dan botol air,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: