Bola Sepak

KL city mohon doa rakyat Malaysia


Pasukan Kuala Lumpur City FC sudah tiba di Kolkata dan kini sedang melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut. FOTO KL City

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memohon doa seluruh rakyat Malaysia khususnya warga kota agar The City Boys mampu mengatasi juara Zon  Asia Selatan, ATK Mohun Bagan pada 7 September di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata. 

Menurutnya, jika Kuala Lumpur City berjaya menewaskan wakil dari India itu, mereka akan terus mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Inter-Zone AFC Cup 2022.

“Sudah pasti seluruh negara tidak sabar dan sudah lama mengidam untuk melihat kelab yang bermain di Liga Malaysia melangkah ke peringkat akhir dan seterusnya menjuarai Piala AFC 2022. 

“Selaku pemilik pasukan Kuala Lumpur City FC, KLFA berasa amat bangga dengan prestasi dan pencapaian yang amat membanggakan yang  ditunjukkan oleh pasukan Kuala Lumpur City FC sepanjang pertandingan Liga Super Malaysia  musim ini dan juga AFC Cup 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dengan kejayaan yang dirangkul baru-baru ini sebagai Juara Zon Asean AFC Cup 2022, AFC telah mengumumkan dan memberikan penambahan satu lagi slot baru untuk kelab-kelab  yang bersaing di Liga Malaysia menyertai kejohanan AFC Cup bagi tahun 2023. 

“Ini bererti kejayaan yang tercapai bukan kejayaan bagi pasukan Kuala Lumpur City FC semata-mata, kejayaan ini juga turut dikongsi bersama dengan industri bolasepak tanah air. 

“Ianya sekaligus berjaya memperbaiki ranking kelab negara ke kedudukan yang lebih baik,” katanya lagi.

Jelas KLFA, pihaknya juga membuka ruang dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menzahirkan kebersamaan pasukan Kuala Lumpur City FC dalam pertandingan AFC ini dengan memberi sumbangan dalam bentuk tajaan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC.

Menurutnya, tidak mungkin pasukan Kuala Lumpur City FC mampu bertahan dan terus melakar kejayaan tanpa sokongan dan tajaan dari mereka yang turut ingin melihat pasukan Kuala Lumpur City FC lebih bertenaga dan terus mara ke hadapan.

“Untuk tujuan sumbangan dan tajaan, sila hubungi pejabat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur di talian 03 9131 5757, 012 201 9147 (Mr. Valyetham – Pegawai Akaun) atau terus menyumbang ke akaun PERSATUAN BOLASEPAK KUALA LUMPUR No. Akaun 014132308930 Maybank,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: