Bola Sepak

Cuti peristiwa 11 September : zahir sokongan padu peminat buat TFC


Cuti peristiwa sempena Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Penyokong Terengganu FC (TFC) boleh menzahirkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka pada final Piala FA 2022 untuk bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap cuti peristiwa tersebut dapat memberikan ruang kepada penyokong Sang Penyu agar tidak tergesa-gesa untuk pulang ke negeri itu selepas perlawanan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur tamat pada 10 September.

“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri Terengganu bersetuju mengisytiharkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa.

“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya pada Ahad.

Tambahnya, beliau berharap pasukan TFC juga akan dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang beraksi di final dengan berusaha untuk meraih kemenangan.

“Kepada pasukan kesayangan semua, Terengganu FC, saya berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksima dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekaligus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu. Insya-Allah,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: