Bola Sepak

KLFA tidak mahu laporan ‘bantutkan’ pencapaian The City Boys


KL City mara ke peringkat separuh akhir interzone Piala AFC 2022.

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak mahu persembahan dan pencapaian Kuala Lumpur City FC yang sangat memberangsangkan di pentas Piala AFC 2022 terbantut oleh khabar angin yang berniat jahat dan tidak tahu daripada mana sumbernya.

Persatuan tersebut dalam satu kenyataan berkata, merujuk kepada laporan sebuah akhbar pada 25 Ogos lalu bertajuk ‘SPRM serbu pejabat KLFA’, pihak KLFA menafikan SPRM ‘menyerbu’ pejabat KLFA seperti yang dilaporkan. 

Menurutnya, berita yang sama juga turut dilaporkan oleh beberapa portal berita atas-talian.

“Perkataan ‘serbu’ adalah sangat tidak tepat kerana kedatangan pihak SPRM pada hari tersebut adalah dengan cara yang baik dan sangat professional. Mereka hanya datang untuk mengambil beberapa dokumen yang diperlukan untuk diteliti hasil daripada laporan oleh pihak yang tidak dikenali.

“Perkataan ‘serbu’ ini boleh mengelirukan orang ramai kerana secara lazimnya, perkataan ‘serbu’ hanya digunakan sekiranya siasatan telah selesai ataupun ada kesalahan yang telah sah dilakukan dan ianya dijalankan dengan adanya unsur paksaan dengan anggota yang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak KLFA ingin menegaskan bahawa tiada penyelewengan atau salah guna kuasa yang berlaku diantara mana-mana individu di dalam KLFA dan juga diantara KLFA dengan mana-mana pihak. 

Menurut persatuan itu, mereka berpandanganlaporan kepada SPRM tersebut adalah bertujuan untuk mencemar nama baik KLFA dan Kuala Lumpur City FC, namun, pihak KLFA akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk mereka menjalankan tugas dan siasatan.

“Dana, bantuan dan sokongan yang diterima KLFA hanyalah semata-mata untuk membayar gaji bulanan pemain-pemain beberapa pasukan yang bernaung di bawah KLFA seperti Kuala Lumpur City FC, Kuala Lumpur Rovers, Skuad Presiden Kuala Lumpur, Skuad Bawah 19 Kuala Lumpur, Skuad Bolasepak Wanita Kuala Lumpur termasuk gaji kakitangan dan perbelanjaan pengurusan KLFA. 

“Pihak KLFA ingin menyatakan di sini bahawa anggaran perbelanjaan untuk KLFA adalah sebanyak RM12 juta sehingga RM 14 juta setahun dimana pihak KLFA menerima dana daripada pihak DBKL hanya sebanyak RM5 juta setahun. Pihak KLFA perlu berusaha dengan pelbagai cara dengan bersendirian untuk mencari dana yang selebihnya,” ujarnya lagi.

Jelasnya, penjelasan ini menjadi keutamaan pihak KLFA untuk menjawab tanda tanya orang ramai khususnya pihak penaja dan rakan strategik KLFA mengenai ketelusan pihak atasan KLFA menguruskan persatuan dan hal ehwal kerjasama dengan pihak ketiga.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: