
Malaysian Football League (MFL) menyalurkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai Sarawak United FC yang mengalami masalah tunggakan gaji.
MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut diperolehi menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan dibuat bagi meringankan beban yang dipikul oleh pemain dan pegawai terlibat.
“Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.
“Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM),” ujarnya.
MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United dan mengarahkan kelab itu untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini dan seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di TM Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan.
Add Comment