
Kelantan FC menerima tajaan berjumlah RM 800,000 daripada syarikat produk kosmetik terkenal di Malaysia, Skin Dessert sebagai persiapan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.
Simbolik penyerahan tajaan tersebut dilakukan oleh Pengasas Skin Dessert, Mohd Aliff Ab Kadir kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pada rehat separuh masa pertama perlawanan Liga Premier di antara Kelantan FC dan Terengganu FC II di Stadium Sultan Muhammad IV pada petang Ahad.
Team Red Warriors Sdn. Bhd dalam kenyataan di Facebook menyifatkan kerjasama yang dijalinkan merancakkan lagi industri bola sepak negeri Kelantan.
“Kita mempunyai misi yang jelas dan perancangan yang lebih baik beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023. Hubungan baik antara kerjasama Kelantan FC dan Skin Dessert membuka peluang penerokaan yang lebih luas kepada produk Skin Dessert dan dapat membantu meningkatkan nilai komersial antara kedua-dua pihak.
“Kami turut mengharapkan kerjasama yang dijalinkan ini dapat melonjakkan lagi semangat pihak pengurusan pada musim hadapan untuk membentuk skuad yang terbaik,” katanya.
Add Comment