
Terengganu memperolehi suntikan motivasi bagi menghadapi final Piala FA 2022 apabila lulus pada pertembungan aksi Liga Super 2022 derbi pantai timur selepas menang tipis 1-2 kepada Sri Pahang FC di Kuantan pada malam Ahad.
Sang Penyu berjaya menamatkan rekod cemerlang skuad kendalian Datuk Dollah Salleh yang belum tewas sejak lima perlawanan lalu untuk mendaki ke tangga keempat liga super dengan 26 mata selepas 16 perlawanan.
Tok Gajah terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 pada minit ke-47 menerusi Manuel Hidalgo untuk memberikan tekanan kepada TFC yang beberapa kali berjaya mengasak kubu tuan rumah namun dinafikan dengan kecemerlangan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa.
Sang Penyu kembali menyusun serangan dan kembali melakukan serangan bertali arus ke kubu Sri Pahang untuk memburu gol penyamaan.
Asakan demi asakan yang dilakukan mereka berjaya membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-73 menerusi Habib Haroon yang menanduk masuk gol ke gawang Tok Gajah selepas menerima hantaran sepakan sudut dari rakannya.
Menuju ke penghujung perlawanan, Petrus Shitembi menghadiahkan kemenangan buat TFC pada minit ke-87 untuk keputusan 1-2 apabila percubaannya terkena pertahanan lawan untuk mengelirukan Samassa dan menewaskan penjaga gol tersebut buat kali kedua.
Sri Pahang FC kini berada di tangga kelima liga super dengan 21 mata selepas 17 perlawanan.
Add Comment