Bola Sepak Komuniti

“Saya ‘tumbang’ banyak kali dah,” – bekas pemain Selangor


Fareed menunjukkan bahagian perutnya yang dibedah beberapa kali kepada Abd Rauf dan rombongan daripada FAS.

Bekas pemain Selangor tahun 1999 dan 2002-2003 , Mohd Fareed Shah Hassan yang menderita sakit usus mendapat perhatian Naib Presiden FAS, Datuk Abd Rauf Ahmad yang melawatnya di kediamannya di Taman Industri Bukit OUG, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Abd Rauf hadir bersama Setiausaha FAS, Muhammad Izrin Nabil dan Ahli Jawatankuasa Kebajikan bekas pemain-pemain FAS, Shahril Arsat serta K Sanbagamaran meluangkan masa mendengar perkembangan semasa dari Mohd Fareed sendiri.


Mohd Fareed berkata, hospital bagaikan rumah keduanya selepas perlu berulang-alik mendapatkan rawatan berkala yang telah ditetapkan oleh doktor yang merawatnya.


“Orang nampak saya macam tidak ada apa-apa, tetapi saya sudah tumbang (pengsan) banyak kali (akibat kekurangan darah dalam badan). Saya tidak boleh makan makanan keras, semuanya bubur. Doktor cadangkan saya untuk minum susu sama untuk protein,” ceritanya.


Menurutnya lagi, masalah usus yang dialami itu menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga membataskannya daripada melakukan sebarang kerja berat.

 
“Saya bersyukur kerana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah datang baru-baru ini untuk membantu meringankan beban. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang lain,” ujarnya. 


Bersama Selangor, bekas penyerang berusia 42 tahun ini membantu The Red Giant menjulang Piala Malaysia pada tahun 2002.


Sepanjang kariernya bergelar pemain bolasepak, dia juga pernah menyarung jersi Sabah pada 2000, Penang (2001), Selangor Public Bank (2004-2005), PKNS FC (2006-2007) dan Proton FC (2007-2009).

Abd Rauf (dua kanan) menyerahkan sehelai jersi kepada Fareed dalam kunjungannya
baru-


Sementara itu, Abd Rauf yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan bekas pemain-pemain FAS dalam reaksinya pula berkata, FAS sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan pemain termasuk bekas pemain mereka.


Menurutnya, selain kebajikan pemain, perhatian kepada keluarga juga turut diberikan dan beliau bersama FAS kini dalam perancangan untuk menghulurkan bantuan yang berbentuk seperti biasiswa pembelajaran kepada anak-anak mereka. – CAKAP SUKAN


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: