
Dua jaringan Steven Rodriguez memastikan Sri Pahang FC berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 bagi memastikan mereka meraih tiga mata berharga pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Darul Makmur pada malam Isnin.
Anak buah Datuk Dollah Salleh mencatatkan dua kemenangan berturut-turut selepas sebelum ini Selangor FC turut menjadi mangsa mereka apabila menang dengan jaringan sama pada Rabu lepas.
Jaringan pertama Rodriguez muncul pada minit ke-32 apabila pemain itu bijak mengelirukan penjaga gol pelawat, Ifwat Akmal Chek Kassim untuk meletakkan Tok Gajah di hadapan 1-0.
Jaringan kedua pula menyusul juga menerusi Rodriguez yang cemerlang memanfaatkan hantaran Hidalgo melalui satu serangan pantas untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-67.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sri Pahang mendaki ke tangga kesembilan dengan mengumpul 14 mata daripada 13 perlawanan manakala KDA jatuh ke tangga keenam dengan 17 mata selepas 13 perlawanan.
Add Comment