
Pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio boleh tersenyum lebar apabila menyaksikan pasukannya membelasah Kuala Lumpur City FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi Liga Super 2022 pada Isnin.
Penampilan pertama di saingan liga utama Liga Malaysia dihadiahkan tiga mata oleh anak buahnya yang garang mengasak pasukan pelawat sebaik wisel perlawanan dibunyikan.
Penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit ke-7 apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti dan kemudiannya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-25 untuk kedudukan 2-0.
Pada separuh masa kedua, Leandro Velazquez menambah derita Kl City apabila menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-55 untuk kedudukan 3-0 selepas Ariff Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti.
Fernando Forestieri juga tidak mahu ketinggalan untuk menjaringkan gol dan berjaya melakukannya pada minit ke-71 untuk meletakkan Harimau Selatan selesa di hadapan 4-0 selepas permainan satu dua bersama Leandro.
Safawi Rashid juga mencetakkan namanya selaku penjaring pada perlawanan ini apabila melakukannya pada minit ke-84 melalui jaringan menarik dari luar kotak penalti bagi melengkapkan kemenangan bergaya JDT 5-0.
Add Comment