
Industri bola sepak dianggap platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan dua hala negara khususnya dalam penjenamaan, komersial dan pemasaran.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, secara hakikatnya sukan nombor satu dunia ini adalah ejen penyatuan di kebanyakan negara.
Menurutnya, kunjungan ke Jepun sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo secara tidak langsung dapat berjumpa dengan pemimpin-pemimpin bolasepak dari banyak negara khususnya di Asia Timur.
“Pertemuan ini saya adakan secara berasingan dan berbentuk individu, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan keluarga bola sepak antara negara berkenaan dengan Malaysia terutama dalam bertukar pendapat mengenai pertandingan, perkembangan pemain dan pasukan kebangsaan negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara pemimpin yang dijumpai Hamidin adalah Naib Presiden Persatuan Bolasepak China yang juga Presiden EAFF, Du Zhaocai; Presiden Persatuan Bolasepak Jepun, Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bolasepak Korea Chung Mong-gyu; Presiden Bolasepak Guam, Valentino San Gil; Presiden Persekutuan Bolasepak Mongolia, Ganbaatar Amgalanbaatar; Presiden Persekutuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta Jr. dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal.

Beliau turut hadir di perlawanan kejohanan Final EAFF E-1 Wanita yang menyaksikan Jepun muncul juara kejohanan selepas seri 0-0 dengan China pada 26 Julai di Stadium Kashima (Jepun mengumpul tujuh mata mendahului China dengan dua mata).
Selepas itu, Hamidin ke Stadium Toyota pada 27Julai untuk kategori lelaki yang menyaksikan Jepun menewaskan Republik Korea 3-0.
Menurutnya, mengambil contoh perlawanan kejohanan Final EAFF E-1, nilai komersial perlawanan ini terbukti berada di tahap yang istimewa kerana dihadiri oleh negara yang bukan dari Asia Timur.
“Peluang ini juga digunakan untuk bertemu dan berbincang dengan wakil dan pegawai teknikal FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang turut hadir di Jepun mengenai bola sepak semasa,” ujarnya.
Hamidin menamatkan lawatan undangan enam hari di Jepun pada semalam dengan menyifatkan hubungan erat antara negara bola sepak Asia serta Asia Timur penting dalam memupuk perpaduan terutama dalam menghadapi cabaran yang tidak menentu ketika ini.
Add Comment