
Sehari selepas pasukan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) melepaskan Benjamin Mora untuk pulang ke Mexico, kelab tersebut mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta merta pada Khamis.
Pengendali berusia 54 tahun itu memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys.
“Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.
“Hector pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.
“Selamat Datang dan selamat maju jaya Hector!,” kata kelab tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu tinjauan Cakap Sukan di laman sosial mendapati rata-rata penyokong JDT tidak sabar untuk melihat ‘sentuhan’ ketua jurulatih itu.
Walaupun dilihat mempunyai pengalaman bersama kelab-kelab besar dunia, Hector dilihat berdepan tugas berat kerana Benjamin Mora telah meninggalkan pencapaian yang besar sebelum meninggalkan JDT.
Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.
Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.
Add Comment