Bola Sepak Terkini

KEJAYAAN JUARAI PIALA AFF BAWAH 19 TAHUN INDONESIA BUKTI PROGRAM NFDP DI LANDASAN TERBAIK


Foto: Sportflex

Oleh : Alieff Firdaus

Ketika ramai peminat bola sepak tempatan yang masih lagi teruja dengan kemenangan pasukan negara pada aksi final menentang Laos bagi kejuaraan Piala AFF Bawah 19 tahun malam tadi, satu fakta yang tidak boleh disangkal adalah 21 orang pemain daripada 25 yang di bawa ke Indonesia merupakan graduan dan pelatih di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Daripada pecahan itu, 15 orang daripada mereka merupakan graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang mewakili 2 generasi iaitu kelahiran tahun 2003 dan 2004, 2 graduan Pusat Latihan Daerah (PLD), Seorang dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan 3 lagi merupakan pelatih yang masih lagi berada di AMD.

Sebelum ini ada pakar bola sepak tempatan yang menyifatkan NFDP sekadar program untuk mengadakan aktiviti bola sepak tetapi tidak memasuki tahap untuk memajukan bola sepak”. Kritikan ini timbul susulan prestasi yang hambar ketika Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja, Sukan SEA di Hanoi serta Piala Asia B-23 di Uzbekistan. Kejayaan pasukan negara semalam seharusnya menjadi kayu ukur untuk kenyatan itu ditimbang semula akan kebenarannya.

Program NFDP yang bermula dari tahun 2011 sehingga ke harini telah melalui pelbagai fasa yang mana ianya sentiasa disesuaikan dengan peredaran masa. Pelbagai kejayaan juga telah dicapai bukan sahaja yang melibatkan pencapaian pemain di pelbagai kejohanan antarabangsa malah ianya juga telah diaudit oleh badan bola sepak tertinggi dunia.

Kejayaan semalam juga membuktikan segala usaha jurulatih yang berada di peringkat akar umbi khususnya di Akademi Tunas NFDP dan juga kelab-kelab komuniti yang lain membuahkan hasil. Keringat mereka yang melatih bakat-bakat muda seawal usia 7 tahun ini harus diberikan pujian juga.

Apa yang penting dari sekarang adalah kita memerlukan ekosistem bola sepak yang baik, agar dapat membina pemain-pemain muda tempatan kearah yang lebih baik selepas mereka keluar dari program NFDP ini. Perkara ini perlukan kerjasama yang erat serta sokongan dari semua untuk dapat berjalan dengan jayanya.

Sekiranya kita mampu menjadikan kelab-kelab bola sepak di Malaysia yang mempunyai sistem takbirurus bola sepak sebaik Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), mahupun Selangor FC, hasrat kita untuk melihat pasukan bola sepak negara ke Piala Dunia akan hadir tidak lama lagi.

Majulah sukan untuk negara !


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: