
Pelatih bawah 17 tahun Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Haykal Danish gembira apabila dapat membantu pasukan negara menjuarai Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 19 tahun yang berakhir semalam.
Walaupun baru berusia 17 tahun, bakat dan kemahiran yang dimiliki olehnya berjaya memikat pengendali pasukan negara bawah 19 tahun, Hassan Sazali Waras untuk meletakannya sebagai antara pemain utama pada setiap kejohanan sepanjang kejohanan Piala AFF berlangsung.
Beliau juga baru sahaja pulang dari menjalani latihan percubaan di Kelab FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg pada 19 Jun 2022 yang lalu yang diuruskan oleh AMD sebelum menyertai skuad negara ke Indonesia.
“Saya berasa bangga dan gembira apabila dapat membantu skuad negara dalam Kejohanan Piala AFF yang berakhir semalam. Ini adalah cap pertama saya bersama pasukan negara dan saya ingin pergi lebih jauh lagi”
“Saya ucapkan terima kasih kepada kedua ibubapa saya yang sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan sentiasa bersama saya sepanjang masa. Terima kasih juga kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya bermula dari Akademi Tunas NFDP sehinggalah saya berada di AMD. Latihan dan pengalaman semasa saya berada di AMD telah banyak membentuk diri saya menjadi sebagaimana saya hari ini” ujar beliau ketika ditemu bual selepas perlawanan menetang Laos semalam.
Add Comment