Bola Sepak

Forestieri musnahkan impian Sabah minit akhir


FOTO IHSAN JST

Johor Darul Ta’zim (JDT) meranapkan impian Sabah FC 1-2 pada minit-minit akhir di Stadium Likas pada aksi Liga Super 2022 pada Jumaat.

Sabah FC terpaksa akur apabila dua jaringan  Fernando Forestieri memadamkan gol awal pasukan tersebut seawal minit ke-19 menerusi Park Tae Su.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, skuad Datuk Ong Kim Swee turun dengan semangat tinggi untuk meraih tiga mata bagi pertembungan pasukan pendahulu dan kedua liga ini.

Tae Su terlebih dahulu mengamatkan Stadium Likas apabila terlebih dahulu meletakkan pasukan tuan rumah 1-0 di hadapan pada minit ke-19 selepas bijak menjaringkan gol dari sudut agak sukar.

Tersentap dengan jaringan tersebut, Harimau Selatan kembali mengatur perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 menerusi Forestieri yang memanfaatkan hantaran Ariff Aiman dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan kembali mengatur serangan pada separuh masa kedua dan berusaha untuk memburu gol kemenangan.

Sabah FC dilihat cemerlang mematahkan serangan demi serangan JDT namun keadaan berubah apabila pasukan itu diberikan sepakan percuma di luar kotak penalti selepas pemainnya dikasari pemain tuan rumah.

Forestieri menjadi wira JDT apabila sepakan percumanya menerjah gawang Sabah FC pada minit ke-94 untuk keputusan penuh 2-1.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: