PUTRAJAYA – Malaysia menghantar kontinjen seramai 275 atlet bagi menyertai Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) yang akan berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand bermula 26 Julai hingga 6 Ogos 2022.
Temasya edisi ke-20 yang tertangguh sejak Disember 2020 itu merupakan pindaan tarikh kali ke-tiga yang terpaksa dilakukan oleh tuanrumah Thailand selepas seluruh dunia di landa pandemik Covid-19.
Ini merupakan kejohanan kedua terbesar yang dilalui oleh atlet IPT selepas sebahagian daripada mereka turut mewakili negara di Temasya Sukan Sea yang baru berakhir di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu.
Pada temasya di Ubon Ratchathani ini, kontinjen negara hanya akan menyertai 19 daripada 23 acara yang dipertandingkan. Pada temasya di AUG Myanmar 2018, Kontinjen Malaysia melepasi sasaran 37 daripada 35 pingat emas yang disasarkan dan menduduki tempat ke-3 keseluruhan di belakang Thailand (62) dan Indonesia (44).
“Pada AUG di Thailand, saya umumkan sasaran kita kali ini adalah 35 pingat emas seperti di Myanmar 2018, dan saya berharap kita dapat memperbaiki pencapaian terbaik kita secara keseluruhan. Malang sedikit kita terpaksa melepaskan sekurang-kurangnya 6 atlet IPT yang kita sasarkan pingat emas di Ubon ini untuk beraksi di Sukan Komanwel, Birmingham yang berlangsung serentak”, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.
Datuk Seri Dr Noraini ditemui sewaktu Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG iaitu Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
Pada majlis yang sama juga Datuk Seri Dr Noraini turut menyampaikan insentif sejumlah RM135 ribu keseluruhan kepada 98 atlet IPT yang menyumbang pingat emas, perak dan gangsa di temasya Sukan Sea Hanoi baru-baru ini.
Atlet Renang dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Khiew Hoe Yan muncul penerima anugerah tertinggi sebanyak RM7 ribu selepas menyumbang 1 emas, 3 perak dan 1 gangsa.
Tamat
Add Comment