Futsal Terkini

UPNM BUAT UM GIGIT JARI (MUNCUL JUARA FUTSAL WANITA IPT)


Pasukan UPNM, muncul Juara Futsal Wanita IPT 2022 yang berakhir di UMT, Terengganu beberapa hari lalu. UM naib juara, manakala KPTM Bangi, ketiga.

Gong Badak, Kuala Terengganu – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan Universiti Malaya (UM) 1-0 pada perlawanan akhir Karnival Futsal Wanita Institusi Pengajian Tinggi yang berakhir di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kelmarin.

Rekod tanpa kalah UM di sepanjang saingan peringkat kumpulan hingga ke separuh akhir gagal dipertahankan walaupun sentiasa menarik sokongan peminat dengan kehadiran ‘Insta Famous’, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang juga merupakan pemain futsal kebangsaan.

Turut dibantu seorang lagi pemain futsal

kebangsaan, Siti Asnidah, UM diberikan saingan sengit oleh UPNM yang menurunkan sekurang-kurangnya tujuh pemain bolasepak wanita kebangsaan yang menyambung pengajian antaranya Felicity Loudea Thomas, Henrietta Justine dan Nurul Azurin Mazlan.

Biarpun UM kerap mengasak namun, kekebalan benteng pertahanan UPNM ternyata dibantu oleh kehebatan penjaga golnya Nur Ezza Ashikin yang turut dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Gol tunggal dan kejuaraan UPNM dihasilkan oleh Eva Olivianie Antinus pada minit ke 17 perlawanan sekaligus membuat UM kecewa untuk muncul juara buat kali ke 4 berturut-turut.

Kolej Politech Mara (KPTM) Bangi muncul pemenang tempat ke 3 setelah menewaskan UiTM 2-0 hasil dua jaringan Ainin Sofiya Mohd Hasnizam.

Karnival Futsal Wanita IPT 2022 membabitkan 14 pasukan yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu sebagai tuanrumah perlawanan akhir.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: