
Malaysia Foorball League (MFL) mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC atas kejayaan mereka dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Abdul Ghani Hassan berkata, JDT melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama negara layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas muncul juara Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia mengatasi kelab-kelab gergasi rantau Asia.
Menurutnya, kejayaan itu diteruskan oleh dua lagi wakil negara, KDA FC dan KL City FC yang mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
“KDA FC membuktikan kehebatan dengan muncul juara Kumpulan G di Bali, Indonesia untuk meneruskan cabaran manakala KL City FC memanfaatkan sepenuhnya aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk merebut slot separuh akhir Zon ASEAN selaku naib juara Kumpulan H.
“Pastinya pencapaian JDT, KDA FC dan KL City ini sesuatu yang membanggakan di pentas antarabangsa sekali gus membuktikan kualiti yang dimiliki mereka untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, Ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara malah menaikkan profil Liga Malaysia di mana kemenangan yang diraih dalam saingan ACL dan Piala AFC akan menyumbang mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.
“Bagi MFL, kami amat menghargai komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh JDT, KDA FC dan KL City FC dalam menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa dan kami doakan agar kejayaan akan terus mengiringi mereka di peringkat seterusnya.
“Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain untuk memburu kejayaan sekali gus menyemarakkan lagi saingan Liga Malaysia musim ini dan juga musim-musim seterusnya,” ujarnya.
Add Comment