
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mahu skuad Lelaki B-19 menepis setiap tomahan negatif dengan mempamerkan permainan yang membanggakan.
Beliau berharap skuad Rimau Muda itu akan memperolehi keputusan positif pada Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia, 2 hingga 15 Julai ini.
“Kita meletakkan sasaran pemain B-19 untuk ke separuh akhir dan selepas itu saya mengharapkan pemain mampu ke final,” katanya pada sesi pertemuan dengan pemain-pemain tersebut pada Selasa.

Dalam pada itu, Hamidin juga berharap skuad wanita negara yang akan terbang ke Manila 1 Julai ini untuk berdepan kejuaraan Wanita AFF 2022 di Binan City, Filipina pada 4 hingga 12 Julai dapat meningkatkan lagi mutu permainan mereka.
“Saya lihat prestasi skuad wanita ketika menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan tempoh hari ada peningkatan tetapi masih belum cukup kerana masih ada kelompongan yang perlu kita baiki segera.
“Ini kerana kita perlu mengkaji siapa lawan kita dan perlu sentiasa peka akan posisi pihak lawan. Kita juga perlu tahu tanggungjawab posisi kita, serta pantas bertindak,” ujarnya.
Tambahnya, setiap pemain kebangsaan perlu manfaatkan peluang terpilih untuk berjuang demi Malaysia dengan sebaiknya.
“Sebagai tanda kebanggaan terpilih menyarungkan jersi lambang Negara, setiap pemain (lelaki dan wanita) perlu ada misi untuk mencipta kejayaan demi Malaysia dan bukan bersifat peribadi.
“Bukan mudah untuk kita terpilih menyarungkan jersi negara dan pastinya terlalu banyak pengorbanan yang sudah dilalui, gunakan kepercayaan ini untuk beraksi dengan baik sekaligus menjulang nama negara,” katanya lagi.
Add Comment