
Kuala Lumpur City FC sekadar meraih satu mata pada aksi pertama Kumpulan H Piala AFC 2022 apabila terikat tanpa jaringan dengan PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Ketumpulan jentera skuad kendalian Bojan Hodak jelas ketara apabila mempunyai beberapa peluang untuk melakukannya namun gagal diterjemahkan kepada gol.
Perkara sama juga dialami oleh kelab dari Indonesia tersebut apabila berupaya memberikan ancaman kepada kubu Juara Piala Malaysia 2021 itu namun keputusan tanpa jaringan kekal ke wisel penamat.
KL City seterusnya akan bertemu wakil Singapura, Tampines Rovers bagi aksi kedua Kumpulan H pada 30 Jun ini.

FOTO KDA FC
Sementara itu, di Bali, Indonesia, nasib berbeza menimpa satu lagi wakil negara di pentas Piala AFC 2022, Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tewas 0-2 kepada kelab tuan rumah, Bali United FC bagi aksi pertama Kumpulan G.
Beraksi dalam keadaan padang basah kerana hujan, kedua-dua mempamerkan aksi berhati-hati sebelum Bali United FC memperolehi gol pertama hasil jaringan sendiri pemain KDA FC, Ronald Ngah pada minit ke-45.
Muhammad Rahmat memastikan kemenangan menjadi milik mereka apabila menanduk gol kemenangan untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-82.
Sang Kenari seterusnya. akan bertemu kelab Filipina, Kaya FC bagi aksi kedua Kumpulan G pada Isnin.
Add Comment